Taklimat Harian Pejabat PM platform rakyat dapat maklumat sahih

Politik

PETALING JAYA: Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung bertujuan utama untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih amat penting khususnya dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas.

Katanya, justeru itu Perdana Menteri telah bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung.

Kata Tunku Nashrul, tujuan utama taklimat ini adalah untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi yakni Pejabat Perdana Menteri.

“Melalui taklimat ini, Pejabat Perdana Menteri akan menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting, serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat. 

“Ini juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.

“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan Madani yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Tunku Nashrul berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pejabat Perdana Menteri percaya bahawa komunikasi jelas, keterbukaan dalam pentadbiran dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan Kerajaan.

“Pejabat Perdana Menteri mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif-inisiatif ini, demi kebaikan dan kemajuan negara kita. Marilah kita jadikan Ramadan ini sebagai bulan islah yakni pembaharuan dalam komunikasi, pentadbiran, dan kehidupan.

“Sebelum mengakhiri taklimat hari ini, saya mewakili Perdana Menteri dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam,” katanya.-UTUSAN