Status pemain warisan dan naturalisasi masih tergantung?

Sukan

PETALING JAYA: Status permohonan pemain warisan dan naturalisasi untuk mendapatkan pasport Malaysia masih menjadi tanda tanya kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berahsia.

Ketika ini peminat ternanti-nanti siapa dan pemain dari negara mana yang bakal mewakili Harimau Malaya kerana aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada pertengahan Mac semakin hampir.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim turut hairan dengan kelewatan itu dan meminta FAM agar lebih telus dalam memberi maklumat kepada penyokong serta pihak berkepentingan.

“Sekarang sudah dapat kelulusan atau belum? Kalau sudah, berapa ramai pemain warisan dan berapa pemain naturalisasi yang sah mewakili negara? Ini persoalan yang masih belum terjawab.

“Jangan hanya bercerita tentang revolusi, tetapi tiada perkembangan konkrit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, skuad Harimau Malaya tidak berdepan masalah besar menentang Nepal, namun ketidakpastian mengenai status pemain warisan dan naturalisasi menjadi tanda tanya kepada semua peminat bola sepak tempatan.

“Perlawanan semakin dekat. Pasukan lain sudah membuat persiapan awal, contohnya saya melihat pasukan Vietnam telah membuat beberapa siri perlawanan persahabatan tetapi kita masih bergelut dengan isu ini.

“Jika ada pemain baharu yang boleh menyumbang kepada pasukan, mengapa lambat diumumkan?” soal beliau.

Dalam pada itu katanya persoalan ini harus ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend mengenai perkembangan terkini pemain warisan dan naturalisasi itu.

“Saya juga berpendapat soalan ini juga perlu dituju kepadanya (Friend) kerana dia bertanggungjawab mengenai isu ini,” ujarnya.

Terdahulu, FAM telah menghantar permohonan untuk beberapa pemain warisan mendapatkan pasport Malaysia, selain meneruskan program naturalisasi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh skuad kebangsaan.

Namun, hingga kini, tiada pengesahan rasmi mengenai status mereka oleh badan induk bola sepak itu.-UTUSAN