MBSB umum dividen tunggal peringkat pertengahan 1.80 sen sesaham bagi 2024

Perniagaan

PETALING JAYA: Lembaga Pengarah MBSB Berhad (MBSB) mengumumkan Dividen Tunai Tunggal Peringkat Pertengahan sebanyak 1.80 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Dividen itu akan dibayar pada 27 Mac 2025 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam Rekod Pendaftar pada 17 Mac 2025.

Menurut kenyataan, pada harga saham semasa 72 sen, dividen itu mewakili hasil dividen sebanyak 6.32 peratus, mencerminkan komitmen MBSB dalam memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham sambil mengekalkan pengurusan modal yang berhemat.

“Keputusan ini didukung oleh prestasi kewangan MBSB yang kukuh, termasuk peningkatan 185.6 peratus dalam Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) kepada RM586.3 juta dan kenaikan 31.4 peratus dalam hasil Kumpulan kepada RM3.7 bilion.

“Dengan nisbah akaun simpanan (CASA) yang bertambah baik kepada 11.1 peratus serta pengurusan kos yang berdisiplin mengekalkan Nisbah Kos kepada Pendapatan pada 54.9 peratus, MBSB terus memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan pulangan yang mampan kepada pemegang saham,” katanya.

Mengulas mengenai pengumuman dividen itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Rafe Haneef berkata, pengisytiharan dividen itu mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan kewangan MBSB serta momentum pertumbuhan yang berterusan.

“Ketika kami menyambut ulang tahun ke-75, kami komited untuk terus memberikan nilai mampan kepada pemegang saham sambil melabur dalam bidang pertumbuhan masa depan seperti pembiayaan PKS, perbankan digital, dan pengurusan kekayaan,” ujarnya. – UTUSAN