PRK DUN Ayer Kuning: 14,000 pengundi muda jadi penentu

Politik

TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO mempunyai potensi yang besar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sekiranya berjaya menarik undi sebahagian besar daripada 14,000 pengundi muda di kawasan itu.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jentera BN perlu dimantapkan dan diperkasakan memandangkan 14,000 pengundi muda itu menjadi penentu keputusan PRK tersebut.

“Nasib baik, Pemuda BN Bahagian Tapah sentiasa mengadakan program-program belia. Ini satu-satunya Parlimen di negara ini yang mulakan pembangunan belia pada peringkat sekolah lagi.

“Apabila mereka di tingkatan lima ada sumbangan lain (pembangunan belia),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali.

Saravanan berkata, BN akan meningkatkan program-program semasa bulan Ramadan ini untuk menarik pengundi Melayu.

“Kita melihat pada empat pilihan raya lalu diberikan mandat yang memuaskan oleh pengundi Melayu sehingga kawasan ini menjadi kubu kuat BN.

“Kita telah memberikan sumbangan kepada penduduk Ayer Kuning tanpa mengira agama termasuk umat Islam bukan sekadar pada pilihan raya semata-mata.

“Hubungan kita akrab dan rapat dan kita yakin dapat mandat yang sewajarnya pengundi Melayu,” katanya..

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac ini. – UTUSAN