KUALA LUMPUR: Pameran Perabot Eksport (EFE) edisi ke-18 dijangka meraih potensi jualan sebanyak RM3.5 bilion sepanjang acara tersebut dari 2 hingga 5 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini bukan sahaja memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) Malaysia tetapi juga mengukuhkan keyakinan pembeli terhadap jenama EFE.
Katanya, eksport perabot kayu mencecah RM9.9 bilion pada 2024, menyumbang 43.2 peratus daripada jumlah nilai eksport kayu Malaysia, bukti peranan pentingnya dalam mengukuhkan industri perkayuan negara.
“Tahniah kepada industri perabot kerana mencapai pertumbuhan 8.4 peratus dalam nilai eksport berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian mengagumkan yang mencerminkan daya tahan dan daya saing industri.
“Dengan ketegangan perdagangan yang semakin sengit antara ekonomi utama, pemain industri mempunyai peluang untuk mempelbagaikan pasaran mereka dan mengembangkan kehadiran perniagaan mereka di kawasan yang diabaikan sebelum ini.
“Usaha Majlis Perabot Malaysia (MFC), dalam menganjurkan misi perdagangan dan mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa adalah penting dalam membuka kunci prospek perniagaan baharu dan meluaskan destinasi eksport, memastikan pertumbuhan berterusan industri perabot Malaysia,” katanya pada majlis perasmian EFE 2025 di KLCC, di sini, semalam.
Ucapan beliau dibaca oleh Timbalannya, Datuk Chan Foong Hin.
Sementara itu, Foong Hin berkata, pemain industri perabot tempatan menyatakan kebimbangan susulan isu tarif berkaitan kayu diperbincangan di Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Menurutnya, jumlah eksport perabot Malaysia ke AS adalah sebanyak RM5 billion atau 50 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport perabot.
“Isu tarif ini telah pun dibangkitkan oleh Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) di Parlimen yang mana ASEAN sebagai suara kolektif akan menghantar pandangan kepada AS dalam satu sidang kemuncak khas.
“Ini adalah di bawah skop Kementerian Luar. Di bawah kementerian kami, dua sektor yang akan terkesan melibatkan tarif ke AS adalah sektor sarung tangan getah dan perabot.
“Jadi kedua-dua sektor ini sudah tentu terkesan kerana AS adalah pelanggan utama kita. Jadi jika apa-apa berlaku ia akan menjejaskan nilai eksport dan memberi kesan kepada kehidupan pengeksport dan pekerja mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, kementeriannya pasti akan bekerjasama untuk mendapatkan maklum balas daripada pemain industri supaya kita boleh berkomunikasi dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“MITI adalah kementerian yang sah untuk menangani isu ini tetapi tugas kami untuk sentiasa melibatkan diri dengan pemain industri dan berkongsi kebimbangan supaya kita boleh membuat beberapa dasar yang cukup baik untuk meyakinkan rakan sejawatan kami,” jelasnya.
Presiden AS, Donald Trump mengarahkan penelitian dibuat berhubung kemungkinan tarif ke atas import kayu, selain menggesa peningkatan bekalan domestik.
Sabtu lalu, Trump menandatangani satu lagi perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick untuk memulakan siasatan bagi menentukan kesan import kayu, papan dan produk berkaitannya terhadap keselamatan negara.
Kajian itu mungkin mendorong kepada pelaksanaan tarif baharu, yang menambah beban ke atas levi sedia ada. – UTUSAN