Untung bersih EPMB jatuh 6.9% kepada RM18.96 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB), penyedia penyelesaian automotif mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM18.96 juta keseluruhan tahun kewangan 2024, menurun 6.9 peratus berbanding RM20.36 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataannya, satu daripada pencapaian terbaik dalam sejarahnya itu disokong oleh penyertaan dalam perniagaan pembuatan tempat duduk kereta.

EPMB melaporkan pendapatan berjumlah RM594.71 juta bagi tempoh sama, susut sembilan peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan bayaran balik perkakas (tooling reimbursement) yang lebih rendah daripada pelanggan bagi pembangunan model dan produk baharu.

Katanya, bayaran balik perkakas ini merupakan pendapatan bukan berulang, yang mewakili sebahagian kos pelanggan untuk reka bentuk dan pembuatan komponen baharu mengikut spesifikasi mereka.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih EPMB meningkat lebih tiga kali ganda tahun ke tahun kepada RM9.60 juta, didorong oleh peruntukan cukai yang lebih rendah serta pendapatan cukai tertunda sepanjang suku tersebut.

Pendapatan pada suku berjumlah RM145.34 juta, turun 28 peratus tahun ke tahun, disebabkan terutamanya oleh bayaran balik perkakas yang lebih rendah serta penurunan dalam jumlah jualan komponen dan alat ganti automotif.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, prestasi kewangan dan operasinya mencerminkan daya tahan serta kedudukan strategik EPMB dalam menghadapi landskap automotif yang semakin berkembang dan persaingan sengit daripada pemain baharu di pasaran.

“Pada tahun kewangan 2025, kami akan terus meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dan menjangkakan sumbangan penuh sepanjang tahun daripada perniagaan pemasangan kenderaan kami, khususnya menerusi kerjasama dengan GWM dan BAIC.

“Kami juga sedang mempersiapkan diri untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan yang besar dalam pasaran eksport automotif ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, industri automotif di Malaysia dan ASEAN sedang mengalami fasa peralihan dan pihaknya menyaksikan perubahan dalam dinamik pasaran dengan pengaruh yang semakin ketara daripada pengeluar kenderaan dari China serta peningkatan penerimaan pengguna terhadap jenama ini.

“Bagi memastikan kelangsungan jangka panjang, kami akan terus berhati-hati dalam memilih rakan kongsi pengeluar peralatan tulen (OEM), dengan memberi tumpuan kepada mereka yang selari dengan matlamat strategik kami.

“Keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran sambil mengekalkan kecemerlangan operasi adalah kunci kepada pertumbuhan masa depan,” jelasnya. – UTUSAN