Enam pemimpin UMNO Tapah dipertimbang calon PRK Ayer Kuning

Politik

TAPAH: Nama enam pemimpin UMNO Bahagian Tapah sudah dikemukakan untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini tiada di antara keenam-enam nama yang dikemukakan itu menarik diri.

“Setakat ini belum (menarik diri), InsyaAllah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Perak di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.

Sebelum ini Saarani memaklumkan lapan nama peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah diangkat untuk dipilih calon BN dalam PRK DUN Ayer Kuning.

Namun, jumlah itu tinggal enam pilihan kerana dua daripadanya telah menarik diri.

Katanya, lapan mereka itu ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian tersebut.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac ini bagi menentukan tarikh PRK DUN Ayer Kuning. – UTUSAN