PKR harap tanding lebih banyak kerusi PRN Sabah

Politik

KOTA KINABALU: PKR meletakkan harapan untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Biro Politik PKR Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, walaupun partinya mengharapkan lebih banyak kerusi namun, mereka perlu mengambil kira pandangan parti lain yang mungkin akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).


Katanya,  pada masa ini PKR hanya mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Api-Api dan DUN Inanam.


“Kita tidak hanya bersama dengan orang kita (PH). Kita juga mungkin perlu bekerja dengan rakan-rakan dari parti lain. Namun sekarang, kita kena putuskan dalam kalangan parti kita terlebih dahulu.

“Pada masa ini perbincangan mengenai agihan kerusi masih berjalan dan kita akan memutuskan jumlah kerusi yang ditandingi dalam kalangan pemimpin negeri terlebih dahulu sebelum mendapatkan pandangan pimpinan pusat.

“Saya sudah sebut berulang kali bahawa PKR akan memutuskan (agihan kerusi) dalam kalangan kami. Kemudian apabila sudah ada formula dan mengenal pasti kawasan serta calon yang boleh menang, baru kita bincang dengan pimpinan pusat,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Aneka Rasa Sutera di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai proses perbincangan agihan kerusi PKR menjelang PRN Sabah yang akan diadakan tahun ini.

Christina yang juga ADUN Api-Api berkata, memandangkan PRN belum berlaku, beliau ingin memberi fokus kepada pemilihan PKR terlebih dahulu.

“Selepas itu, barulah bercakap soal pilihan raya.

“Untuk pemilihan parti, kami memilih pemimpin peringkat cabang dulu dan sebulan kemudian baru kami akan ke Kuala Lumpur untuk memilih pemimpin peringkat pusat. Di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sesiapa yang ingin bertanding jawatan tertinggi boleh bertanding,” katanya.

Pada masa ini, dua wakil daripada Sabah berada dalam MPP iaitu Naib Presiden, Awang Husaini Sahari yang dilantik sendiri oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud. – UTUSAN