PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, yang bertujuan mereformasi dan menambahbaik institusi demokrasi, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.
RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lulus dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen, selepas ia dibahaskan oleh 18 wakil rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan.
Seramai 148 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU, 57 tidak mengundi dan 17 lagi tidak hadir.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam. RUU ini dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb lalu.
Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.