JDT ikat Buriram United 0-0

Sukan

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengikat gergasi Thailand, Buriram United 0-0 dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Chang Arena di Buriram, Thailand itu, tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan berbanding skuad kendalian Hector Bidoglio.

Pada separuh masa pertama, Buriram yang dikendalikan Osmar Loss Veira melakukan asakan bertali arus ke pintu gawang Harimau Selatan yang dikawal oleh Andoni Zubiaurre.

Jenteras serangan Buriram yang diketui Martin Boakye banyak mendatangkan masalah buat benteng JDT, namun Park Jun Heong berjaya mengawal keadaan bagi mengelak gawang Harimau Selatan dibolosi.

Bersambung babak kedua, peluang terbaik Buriram hadir pada minit ke-67, namun tandukan deras Suphanat Muenta berjaya dihalang dengan kemas oleh Zubiaurre.

JDT mempamerkan sedikit kebangkitan selepas Bidoglio membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk Afiq Fazail dan Juan Muniz, namun pergerakan yang dirancang banyak tersekat di bahagian tengah.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0 dan kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mac ini bagi menentukan pasukan mana layak ke suku akhir.-UTUSAN