PETALING JAYA: Wakil rakyat dan ahli politik di negara ini perlu mengisytiharkan harta masing-masing sebulan sekali sehingga mereka bersara sepenuhnya dari dunia politik.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, pengisytiharan harta yang telah dilakukan perlu dinilai oleh pihak bertauliah bagi mengelakkan sebarang penipuan.
Jelasnya, harta yang telah dinilai perlu dihebahkan kepada rakyat melalui media sekurang-kurangnya sebulan sekali supaya rakyat dapat mengetahui dengan jelas jumlah harta yang dimiliki oleh wakil rakyat dan ahli politik.
“Amalan mengisytiharkan aset atau harta adalah langkah baik kerana ia mempamerkan ketelusan dan profesionalisme. Ia juga dapat membendung salah laku berkaitan wang atau harta seperti jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan teliti dan profesional oleh pakar bertauliah seperti pakar audit atau akauntan kerana mereka lebih arif dalam menilai jumlah aset sebenar seseorang individu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan bahawa Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diarahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat pengisytiharan harta susulan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM menyatakan bahawa arahan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024. Ismail Sabri telah melakukan pengisytiharan harta secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Dr. Muzaffar berkata, dalam usaha wakil rakyat dan ahli politik menunjukkan bahawa mereka bersih daripada sebarang salah laku, proses pengisytiharan harta ini perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul dan profesional.-UTUSAN.