KOTA KINABALU: PKR meletakkan harapan untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi Biro Politik PKR Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, namun mereka perlu mengambil kira pandangan parti lain yang mungkin akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pada masa ini PKR hanya mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Api-Api dan DUN Inanam.
“Kita tidak hanya bersama dengan orang kita (PH). Kita juga mungkin perlu bekerja dengan rakan-rakan dari parti lain. Namun sekarang, kita kena putuskan dalam kalangan parti kita terlebih dahulu.
“Pada masa ini perbincangan mengenai agihan kerusi masih berjalan dan kita akan memutuskan jumlah kerusi yang ditandingi dalam kalangan pemimpin negeri terlebih dahulu sebelum mendapatkan pandangan pimpinan pusat.
“Saya sudah sebut berulang kali bahawa PKR akan memutuskan (agihan kerusi) dalam kalangan kami. Kemudian apabila sudah ada formula dan mengenal pasti kawasan serta calon yang boleh menang, baru kita bincang dengan pimpinan pusat,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Aneka Rasa Sutera di sini semalam.
Christina yang juga ADUN Api-Api berkata, memandangkan PRN belum berlaku, beliau ingin memberi fokus kepada pemilihan PKR terlebih dahulu sebelum beri tumpuan pilihan raya.