Singapura tidak terkecuali inflasi

Perniagaan

SINGAPURA: Inflasi global terus memberi tekanan kepada rakyat di seluruh dunia dan Singapura tidak terkecuali.

Kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan semakin dirasai oleh banyak keluarga di republik ini, terutamanya dalam perbelanjaan harian seperti membeli barangan barangan dapur dan membayar bil.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam satu perkongsian dalam akaun media sosialnya selepas perbahasan Bajet 2025 mengakui peningkatan kos hidup menjadi kebimbangan terbesar rakyat di republik ini.

Namun, beliau menegaskan, faktor utama di sebalik kenaikan harga bukan disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya, situasi global yang tidak menentu.

“Ada yang tertanya-tanya sama ada kenaikan GST menjadikan keadaan lebih teruk tetapi realitinya, apa yang kita hadapi ini jauh melangkaui GST

“Inflasi melonjak akibat peperangan dan gangguan rantaian bekalan. Tiada negara terkecuali termasuk Singapura yang juga merasai tekanannya, tertutamanya kerana kita sebuah ekonomi kecil, terbuka dan hampir semua yang kita guna diimport dari luar”, katanya.

Mengimbas kembali pandemik Covid-19, Lawrence menjelaskan bagaimana kerajaan terpaksa menggunakan rizab negara bagi memastikan ekonomi pulih dan rakyat terus mendapat sokongan.

Katanya, walaupun kini ekonomi kembali stabil, kerajaan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kestabilan fiskal jangka panjang, termasuk meneruskan kenaikan GST dengan bantuan mitigasi melalui Pakej Jaminan.

“Kami akan memastikan kerajaan sentiasa mempunyai sumber yang mencukupi untuk menangani cabaran di hadapan.

“Ini termasuk menjaga warga emas kita dengan lebih baik dan bersiap sedia untuk perjalanan yang lebih mencabar dalam beberapa tahun akan datang, ketika dunia menjadi semakin berbahaya, bergolak, dan tidak menentu”, ujarnya.

Singapura berdepan cabaran ekonomi global yang kompleks, tetapi kerajaan bertekad untuk terus menyokong rakyat.

Kerajaan Singapura berharap dengan langkah-langkah tambahan dalam Bajet 2025 ini, setiap rakyat mendapat bantuan sewajarnya dalam menghadapi masa yang mencabar.