Alcaraz mahu fokus, nikmati perlawanan

Sukan

INDIAN WELLS: Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz menegaskan beliau enggan terbeban dengan tekanan menjelang Kejohanan Indian Wells, sebaliknya mahu fokus kepada permainan dan menikmati setiap perlawanan.

Alcaraz, 20, yang memburu kejuaraan ketiga berturut-turut di kejohanan elit ATP Masters 1000 itu sedar cabaran yang bakal menanti, termasuk kemungkinan berdepan legenda Serbia, Novak Djokovic di peringkat suku akhir.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Saya hanya mahu turun beraksi, menikmati permainan dan melihat sejauh mana saya boleh melangkah,” katanya.

Djokovic sebelum ini mencatat sejarah apabila menjadi juara Indian Wells tiga kali berturut-turut dari 2014 hingga 2016, satu pencapaian yang turut pernah dilakukan Roger Federer pada 2004 hingga 2006.

Alcaraz yang tewas dii suku akhir Terbuka Qatar, tiba di kejohanan ini sebagai pilihan kedua di belakang bintang Jerman, Alexander Zverev.

Zverev yang muncul naib juara Terbuka Australia tahun ini, tewas kepada pemain No.1 dunia dari Itali, Jannik Sinner.

Sinner bagaimanapun tidak akan beraksi selepas dikenakan hukuman larangan bertanding tiga bulan kerana kes doping yang berlaku setahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) membuat rayuan terhadap pembebasannya sebelum ini.Namun, Alcaraz menegaskan ketiadaan Sinner tidak mengubah fokusnya.

“Walaupun Sinner tidak bermain, ramai pemain terbaik dunia tetap ada. Saya hanya perlu fokus kepada permainan sendiri dan cuba mempamerkan aksi terbaik,” katanya.-UTUSAN