Laporan digantung tugas, Razman enggan ulas

Politik

BAGAN SERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria enggan mengulas laporan beliau direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat khidmat beliau di sini hari ini, Razman berkata, beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui laporan media.

“Saya hanya tahu (digantung tugas Pesuruhjaya Pas Perak) melalui laporan media. Tiada komen buat masa ini,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Razman telah direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak.

Dalam poster ucapan sempena menyambut Ramadan, tidak disertakan jawatan Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.

Sebaliknya poster tersebut hanya menyertakan jawatan Razman sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak, Adun Gunung Semanggol dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak.

Sehingga kini belum ada pengesahan rasmi daripada Razman atau pun Pas sendiri mengenai perkara tersebut.

Malah Pas Perak masih menunggu pengesahan rasmi mengenai laporan tersebut dengan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Perak Nurhafizul Badrul Hisham berkata, setakat ini, mereka masih menunggu makluman rasmi daripada pimpinan parti.

“Setakat ini tiada apa-apa surat rasmi jadi tidak boleh nak respons berlakunya pertukaran. Tidak ada lagi hitam putih.

“Perkara ini hanya boleh disahkan menerusi makluman rasmi daripada pimpinan parti,” katanya di Tapah baru-baru ini.

Sebelum ini Razman terpalit dengan beberapa isu antaranya beliau mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).

Razman bagaimana pun mengemukakan permohonan maaf kepada Hannah selepas mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa pemimpin DAP tersebut sebagai ‘anak YTL’.

Sebelum itu, Razman turut menyampaikan permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan. – UTUSAN