Leclerc akui McLaren pencabar utama

Sukan

MARANELLO: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc mengakui McLaren masih menjadi pencabar utama dalam saingan Formula Satu (F1) menjelang perlumbaan sulung di Australia minggu depan.

Leclerc berkata, walaupun Ferrari kini diperkuatkan dengan kehadiran juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, McLaren tetap menjadi pasukan pilihan selepas merangkul kejuaraan musim lalu.

“Berdasarkan ujian di Bahrain minggu lalu, McLaren masih pasukan yang perlu ditewaskan kerana mereka dilihat lebih pantas berbanding kami dalam beberapa aspek penting seperti bahan api rendah dan kadar perlumbaan.

“Namun begitu, agak sukar untuk mendapatkan gambaran sebenar kerana kami tidak tahu tahap bahan api yang mereka gunakan sepanjang ujian tersebut,” katanya pada majlis sambutan 20 tahun kerjasama Ferrari dengan jenama sukan Puma di Maranello.

Leclerc yang akan bergandingan dengan Hamilton buat kali pertama musim ini, turut memuji rakan sepasukannya itu dan menyifatkan kehadiran pelumba veteran berusia 40 tahun itu memberi suntikan semangat kepada Ferrari.

“Ketibaan Hamilton memberi perhatian besar kepada pasukan sepanjang musim sejuk ini dan itu sesuatu yang hebat.

“Dia adalah legenda sukan ini dan kini menjadi sebahagian daripada pasukan paling ikonik dalam sejarah Formula Satu,” ujarnya.

Leclerc juga mengakui dia telah bekerja keras sepanjang cuti musim sejuk bagi memastikan dirinya bersedia sepenuhnya untuk saingan tahun ini.

“Saya sudah memberikan tumpuan penuh kepada persiapan diri dan semua orang dalam pasukan sangat bermotivasi. Saya tidak sabar untuk beraksi di Australia minggu depan,” katanya.-UTUSAN