Arm Compute Subsystem akan utamakan pemain tempatan 

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan dengan mengutamakan pemain tempatan sebagai pilihan pertama bagi setiap bahagian rantaian bekalan untuk Arm Compute Subsystem (CSS) yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Arm Limited.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, bagi setiap CSS, pihaknya sedang mencari untuk membina rantaian bekalan yang lengkap dalam industri maju seperti pelayan data kecerdasan buatan (AI), kenderaan autonomi, internet untuk segalanya (IoT), robotik dan lain-lain.

“Untuk ini berjaya, kami telah menyediakan struktur kerjasama dengan firma asing yang maju, cadangan pemindahan teknologi dan keperluan penyetempatan supaya kami dapat meningkatkan pemain tempatan kami dengan cara yang realistik dan holistik.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan menunjukkan kemajuan dalam kerjasama Arm ini dengan melancarkan pelan tindakan visi 10 tahun, mengumumkan penerima token CSS, menonjolkan kerjasama dengan pemain tempatan dan mempamerkan prototaip teknologi ini pada persidangan KL20 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Silicon Vision 2025 dengan Arm Limited, kerjasama strategik Malaysia dengan peneraju global semikonduktor bagi pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

Majlis tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan telah melalui pusingan rundingan dengan Arm, untuk mencari model kerjasama yang bermakna dan, yang lebih penting, mengambil perspektif ekosistem.

Menurutnya, ini supaya ia bukannya sesuatu yang sekali sahaja atau bergantung pada buruh kos rendah negara tetapi sesuatu yang bercita-cita tinggi dan berpandangan jauh. 

“Bukan mengejar teknologi atau menaik taraf teknologi, tetapi lonjakan teknologi.

“Apa yang kami ada hari ini ialah perkongsian ekosistem yang komprehensif dengan Arm, di mana kami akan berusaha untuk membangunkan syarikat reka bentuk yang kompleks dengan kepakaran harta intelek (IP) Arm.

“Membangunkan 10,000 bakat untuk perancangan dan mereka bentuk berdasarkan tawaran ‘Crown Jewel’ Arm: Arm Compute Subsystem,” ujarnya.-UTUSAN