Malaysia lancar bengkel inovasi GLC, pacu pertumbuhan ekonomi

Perniagaan

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) melancaran Bengkel Inovasi GLC (BIG), sebuah program transformatif yang bertujuan untuk memacu inovasi merentasi semua Syarikat Berkaitan Kerjaan (GLC).

Dengan peruntukan sebanyak RM15 juta di bawah Belanjawan 2025, inisiatif itu merupakan langkah strategik dalam memajukan agenda reformasi ekonomi Malaysia untuk Meningkatkan Siling di bawah inisiatif GEAR-UP, selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu bertujuan membentuk ekosistem di mana inovasi pemangkin transformasi ekonomi.

“Ini merupakan satu lagi pemacu pertumbuhan strategik yang melengkapi inisiatif sedia ada bagi merangsang pertumbuhan pasaran domestik dan meningkatkan siling di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.

“Dengan membolehkan sinergi lebih besar antara GLC, pelabur, dan startup, kami berhasrat untuk menerajui industri dan membuka peluang pertumbuhan baharu.

“Usaha ini selari dengan inisiatif GEAR-UP, menegaskan fokus Kerajaan dalam membina ekonomi yang bersedia untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam fasa pertamanya, enam GLC utama telah berikrar untuk melabur sebanyak RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun, dengan fokus pada industri Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV) seperti peralihan tenaga, pembuatan maju, dan usaha teknologi.

Pelaburan ini bertujuan untuk membina ekosistem ekonomi baharu, memperkukuh pembangunan negara, serta meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia dan taraf hidup rakyat.

Sementara itu, Ketua Setiausaha (MOSTI), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, MOSTI percaya bahawa inovasi adalah asas kepada ekonomi yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.

“Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) mencerminkan komitmen teguh kami dalam mengintegrasikan teknologi maju, memupuk pemikiran keusahawan, dan mewujudkan peluang pertumbuhan mampan.

“Dengan merapatkan jurang antara GLC, startup, dan pemimpin inovasi, program ini akan membuka penyelesaian transformatif untuk menangani cabaran industri, memperkasakan bakat tempatan, serta memacu kemajuan dalam industri bernilai tinggi dan berpotensi tinggi.

“Dengan usaha ini, kami berharap dapat meningkatkan ekosistem inovasi Malaysia, meletakkan negara sebagai hab serantau untuk idea-idea maju, dan menyumbang kepada visi Ekonomi MADANI yang lebih luas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, pihaknya berbangga untuk menerajui program penting itu dengan kerjasama MOF dan MOSTI, menandakan langkah transformatif dalam landskap inovasi GLC Malaysia.

“Bengkel Inovasi GLC (BIG) dirangka untuk memupuk kerjasama bermakna antara korporat Malaysia dan ekosistem startup, memacu penerapan teknologi baharu serta mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi.

“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin utama dalam usaha kami untuk membangunkan ekosistem yang inklusif, berdaya saing di peringkat global, dan mampan selaras dengan visi kami untuk memperkukuh ekosistem startup Malaysia,” katanya. – UTUSAN