PETALING JAYA: Tiada pihak yang boleh mempertikaikan sebarang proses siasatan terhadap salah laku mana-mana pemimpin yang disyaki terlibat dengan penyelewengan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan mempersoal proses siasatan jelas melanggar prinsip tatakelola yang ditekankan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
Katanya, justeru semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan tidak membuat sebarang andaian berkaitan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Biarkan proses (siasatan) berjalan. Kita di sini tidak boleh ke tahap menghukum dan biarkan proses siasatan dilaksanakan secara profesional.
“Tambahan pula dalam kes membabitkan Ismail Sabri tiada apa-aa pendakwaan lagi. Sebaliknya, kalau ada soalan sama ada seseorang itu boleh atau tidak (didakwa dan disabitkan kesalahan), itupun masalah juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Dewan Bankuet Parlimen hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan Ismail Sabri.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ahli Parlimen Bera itu menerajui negara.-UTUSAN