Disiplin tinggi ‘kunci’ kejayaan JDT ikat Buriram

Sukan

PETALING JAYA: Misi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa pulang bekalan selesa untuk aksi kedua tidak kesampaian, namun pengendalinya, Hector Bidoglio tetap berpuas hati dengan aksi barisan pemain ketika seri 0-0 dengan Buriram United, kelmarin.

Pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) itu, Bidoglio mengakui anak buahnya berdepan kesukaran ketika menentang skuad kendalian Osmar Loss Vieira di Stadium Chang Arena, Buriram, Thailand.

Katanya, pujian harus diberikan kepada barisan pemain yang mempamerkan disiplin tinggi dalam mengekang asakan bertali arus Buriram hingga lawannya itu buntu untuk membolosi gawang JDT.

“Memang ia perlawanan sukar tetapi cara kami bertahan dan memastikan pemain Buriram tidak menjaringkan gol harus dipuji.

“Barisan pertahanan begitu berdisiplin selain pemain tengah yang bertindak mematikan langkah pemain lawan dan kurang melakukan kesilapan yang menyaksikan kita tidak pulang dengan tangan kosong.

“Perlawanan antarabangsa di tempat lawan memang sentiasa mencabar lebih-lebih lagi dalam kejohanan seperti ACLE kerana ia bukan perlawanan 90 minit semata-mata, tetapi 180 minit.

“Jadi, keputusan seri yang diraih tetap positif kerana kami akan beraksi di laman sendiri selepas ini dan sudah pasti JDT akan beri segala-galanya untuk memburu kemenangan ” katanya.

Untuk rekod, kedua-kedua pasukan turut terikat tanpa jaringan pada aksi peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 3 Disember lalu.

Justeru, Bidoglio berjanji akan menyiapkan barisan terbaik untuk memerangkap Buriram bagi memastikan skuad Harimau Selatan mara ke pusingan seterusnya menjelang aksi kedua pada 11 Mac ini di SSI.

“Masih ada perlu diperbaiki bagi persiapan aksi kedua di SSI minggu depan terutama apabila sukar untuk membuka ruang dan pemain tidak dapat mengumpan bola dengan tepat,” jelasnya.

Ditanya mengenai debut bekas pemain AC Milan, Samu Castillejo yang diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu, Bidoglio berpuas hati dengan sumbangan pemain import dari Sepanyol itu.

“Saya berpuas hati dengan usaha Samu (Castillejo). Dia baru bersama kami dan masih dalam proses memahami corak permainan serta rakan sepasukan.

“Namun, dia memberikan yang terbaik. Saya percaya dalam masa beberapa hari lagi, dia akan semakin serasi dan mampu memberikan sumbangan lebih besar,” jelasnya-UTUSAN