TAPAH: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yakin pengundi Cina dan India akan terus memilih calon parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, gabungan parti itu mempunyai DAP dan MCA yang beliau yakini akan bekerja keras memenangkan calon UMNO pada PRK tersebut.
“Kami bincang peranan semua parti dalam gabungan ini. Kami ada parti daripada DAP dan juga MCA tentunya saya percaya tasking (tugasan menarik pengundi Cina) ini akan diberikan kepada mereka.
“Kita mahu angkat seorang pemimpin yang mewakili semua kaum dan konteks Ayer Kuning ini pelbagai kaum ada Melayu, Cina dan India. Semuanya mesti berperanan,” katanya selepas Mesyuarat Pimpinan BN dan PH di Bangunan UMNO Tapah di sini semalam.
Shamsul Iskandar berkata, tiada isu besar yang menggugat kepercayaan pengundi Cina dan India pada PRK DUN Ayer Kuning kerana di bawah kepemimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad perkara itu telah diselesaikan dengan sebaiknya.
“Kehadiran Menteri Besar di kawasan ini akan menyelesaikan perkara-perkara tempatan yang mendesak,” katanya.
Berhubung harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang PRK DUN Ayer Kuning, Shamsul Iskandar yang juga merupakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berkata, Anwar mengharapkan kerjasama yang baik melibatkan komponen (parti) dalam Kerajaan Perpaduan.
“Beliau mahu rakyat tidak perlu buang masa undi parti yang lain. Gabungan (PH dan BN) parti yang kuat mewakili semua kaum dan terbukti berperanan efektif dalam semua peringkat Persekutuan dan kerajaan Negeri,” katanya.