PETALING JAYA: Pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabuoy meletakkan sasaran untuk mencatat masa di bawah 53 saat dalam acara 400 meter di Kejohanan Dunia Indoor yang bakal berlangsung di China pada 21 hingga 23 Mac ini.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, Shereen kini berada dalam prestasi terbaik selepas menjalani latihan di Malaysia dari pertengahan Oktober 2024 hingga awal Februari tahun ini.
Kini, beliau telah kembali ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyambung latihan di bawah kendalian jurulatihnya, Derrick.
“Dalam acara 400m dalam dewan, pemilihan lorong sangat memainkan peranan kerana trek hanya sepanjang 200 meter dan mempunyai selekoh yang ketat. Jika mendapat lorong dalam, persaingan menjadi lebih sukar.
“Namun, Shereen berada dalam semangat yang tinggi dan sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Selain Shereen, atlet negara turut akan bersaing dalam beberapa kejohanan penting lain dalam tempoh terdekat, termasuk Kejohanan Berjalan Kaki Asia dan Kejohanan Remaja Asia Bawah 18 Tahun.
“Kami sentiasa memastikan setiap atlet negara bersiap sedia untuk memberikan aksi terbaik mereka pada hari pertandingan,” tambahnya.
Shereen kini sedang menyesuaikan diri dengan latihan intensif di AS sambil menantikan cabaran besar di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, Shereen merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam tiga acara iaitu 400m Indoor (52.27s), 400m outdoor (51.79s) dan 200m outdoor (23.33s).-UTUSAN