Lembaga Disiplin PKR siasat tiga individu

Politik

SHAH ALAM: Lembaga Disiplin PKR menyiasat tiga individu termasuk Ketua Cabang Kuala Selangor, S. Thiban susulan insiden pergaduhan dan ugutan yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2025 parti kawasan itu pada Sabtu lalu.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, MPN dimaklumkan dua individu membuat laporan kepada Lembaga Disiplin susulan insiden tersebut selepas mesyuarat selesai.

“Terdapat dua laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan, selain itu Isu tersebut turut dilaporkan kepada Lembaga Disiplin dan Setiausaha Agung, Dr. Fuziah Salleh memaklumkan pihaknya menyerahkan kepada polis berhubung dakwaan berlaku ugutan kerana melibatkan tindakan jenayah.

“Pada masa sama, Lembaga Disiplin turut membuat siasatan dalaman terhadap ketiga-tiga individu yang didapati terlibat dalam insiden tersebut termasuk Thiban. Bermakna ada dua siasatan dilakukan iaitu dari pihak polis dan parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis menyiasat dakwaan lelaki terlibat dalam insiden pergaduhan yang berlaku pada MATC PKR Kuala Selangor 2025 yang diadakan di Bestari Jaya mempunyai kaitan dengan kumpulan gangster atau kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 45 tahun itu kira-kira pukul 4.15 petang Isnin lalu di sekitar Kuala Selangor.

Juwairiya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati menambah, bagaimanapun Biro Politik PKR meluluskan laporan MATC tersebut kerana memenuhi syarat mesyuarat.

“Laporan mesyuarat itu dibawa ke biro politik pusat. Selepas kejadian, biro politik bermesyuarat dan turut membincangkan isu tersebut. Ia tetap diluluskan kerana mematuhi prosedur dan tiada arahan penangguhan dan sebagainya, cuma ada tindakan disiplin.

“Secara keseluruhan, mesyuarat cabang di Selangor setakat ini berjalan lancar, cuma Cabang Kuala Selangor sahaja yang berdepan insiden sedemikian, namun tidak menjejaskan perjalanan MATC. Masih ada cabang yang belum bermesyuarat, dijangka selesai pada akhir bulan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Azaharudin ketika dihubungi memaklumkan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Terdahulu tular beberapa potongan video memaparkan insiden pertengkaran dalam kalangan beberapa individu hadir dalam MATC Cabang Kuala Selangor yang berlangsung pukul 11.30 pagi.

Malah wujud dakwaan terdapat pihak yang membawa sekumpulan samseng pada mesyuarat berkenaan untuk mencetuskan kekecohan dan mengganggu proses mesyuarat tersebut. – UTUSAN