TNG bekerjasama dengan Gadget Flow lancar Device2Cash

Perniagaan

PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital), pemain fintech terbesar di Malaysia, bekerjasama dengan Gadget Flow melancarkan Device2Cash, satu ciri baharu yang tersedia dalam TNG eWallet yang membolehkan pengguna menjual peranti terpakai untuk mendapatkan wang tunai.

Device2Cash memberikan dua manfaat utama, ia memberi manfaat kewangan kepada pengguna sambil menyokong masa depan yang lebih lestari dengan memberikan peranti peluang kedua.

Ketua Pegawai Operasi TNG Digital Sdn. Bhd., Mohd. Herman Sarbini, berkata, syarikat komited untuk memupuk inklusi digital dan kelestarian dalam masyarakat.

“Peranan Device2Cash juga dalam merapatkan jurang digital sementara menangani cabaran e-sisa di Malaysia. 

“Dengan menyediakan ekosistem yang lancar untuk pengguna menjual peranti lama mereka dengan bertanggungjawab, Device2Cash bukan sahaja menawarkan manfaat kewangan tetapi juga mengurangkan impak alam sekitar. 

“Peranti-peranti lama ini diberikan peluang kedua melalui penggunaan semula dan kitar semula yang bertanggungjawab, menyumbang kepada ekonomi digital yang lebih lestari dan inklusif,” katanya. 

Melalui kerjasama strategik dengan Gadget Flow, pengguna kini boleh menukarkan pelbagai jenis peranti elektronik lama mereka dengan harga yang adil dan telus melalui Device2Cash di TNG eWallet. 

Ciri ini mempermudahkan keseluruhan proses dari berhubung dengan pembeli, menyelaraskan penyerahan peranti hingga menerima wang tunai terus ke dalam TNG eWallet, memastikan pengalaman pengguna yang lancar. Untuk kemudahan tambahan, peranti yang dihantar untuk dijual akan diambil secara percuma, menghapuskan kesulitan penghantaran.

Kerjasama ini juga mendorong penyertaan yang lebih besar dalam ekonomi kitaran sambil mempromosikan pengurusan sisa digital yang lestari.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gadget Flow, Li Dong berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan TNG Digital untuk melancarkan Device2Cash, yang mewakili sumbangan bermakna kepada masyarakat yang membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia kekal berhubung dalam era digital. 

Katanya, kerjasama ini selaras dengan tujuan utama perniagaan syarikat, iaitu untuk memberdayakan individu dengan akses kepada teknologi yang mampu dimiliki. 

“Melalui pengumpulan, penilaian kualiti dan pembaharuan peranti lama, kami bukan sahaja memberi peluang kedua kepada telefon pintar ini tetapi juga memupuk pendekatan yang lebih inklusif dan lestari terhadap akses digital,

”Sebagai sebahagian daripada acara PRIHATIN Kasih Madani Ramadan, TNG Digital juga menyumbangkan barang-barang keperluan selain peranti mudah alih kepada penduduk Lembah Pantai, memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh semua pihak untuk memperkasakan komuniti yang terdedah dan menyokong integrasi mereka ke dalam ekonomi digital.

Sempena ramadan, pihak TNG mengedarkan sejumlah 500 peranti mudah alih kepada penerima terpilih, dengan 100 daripadanya diberikan pada acara PRIHATIN Kasih Madani Ramadan. – UTUSAN