Ketua Armada Jasin kekal disandang Jefri Safry

Politik

KUALA LUMPUR: Spekulasi jawatan Ketua Armada bahagian Jasin terjawab apabila kekal disandang bekas calon DUN Sungai Rambai, Jefri Safry.

Perkara itu disahkan Ketua Armadanya, Hillman Idham pada 5 Mac lalu, sekali gus turut melantik beliau sebagai Ketua Armada Negeri Melaka untuk menerajui sayap pemuda Bersatu di negeri itu.

Jefri berkata, dengan tanggungjawab baharu yang dipikul kini, beliau yakin mampu memimpin Armada Negeri Melaka dengan lebih agresif dan progresif.

“Dengan pengalaman luas dalam arena politik Armada, saya berhasrat untuk memperbanyakkan keahlian Bersatu dalam kalangan anak muda serta menganjurkan lebih banyak program bagi mendekatkan golongan muda dengan parti.

“Saya juga bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan kejayaan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Jefri turut berkata, beliau percaya bahawa anak muda berusia 18 tahun ke atas akan menjadi penentu hala tuju kerajaan masa depan.

“Oleh itu, kekuatan dan semangat kepimpinan yang ada ini diyakini akan menjadi faktor utama dalam mengubah landskap politik di Negeri Melaka,” ujarnya.

Untuk rekod, Jefri pernah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada usia 30 tahun, ketika memegang jawatan sebagai Naib Ketua Armada Negeri Melaka dan ketua Armada Jasin di penggal terdahulu.