PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya, sekiranya tiada kesan besar global berlaku.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pada kadar semasa OPR stabil dan seimbang, seiring senario ekonomi domestik semasa, kecairan tunai yang mencukupi dan pertumbuhan pinjaman bank yang sehat.
“Justeru itu, perkara ini menyokong ekonomi domestik untuk terus berkembang dan menjadi peneraju kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Tindakan kepemimpinan Trump menaikkan tarif import ke atas barangan dari China, Kanada, dan Mexico, serta bakal diperluas ke Kesatuan Eropah, dijangka mengubah landskap perdagangan global secara drastik.
“Ia berpotensi meningkatkan kadar inflasi Amerika Syarikat (AS) yang kini sekitar 3.0 peratus, sedangkan sasaran sebelumnya adalah 2.0 peratus tetapi tidak tercapai.
“Kesannya, dasar monetari AS yang sebelum ini dijangka menurunkan kadar faedah daripada 4.25 peratus pada 2025 mungkin akan tertangguh. Ini secara langsung mengekalkan jurang kadar faedah antara AS (4.25 peratus) dan Malaysia (3.0 peratus),” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, ketika Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka menurunkan kadar faedah, perbezaan kadar antara Malaysia dan ekonomi maju kekal sebagai faktor yang boleh mempengaruhi nilai ringgit.
“Dalam kenyataan media BNM pada 6 Mac 2025, bank pusat menyatakan bahawa perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil boleh memberi kesan positif kepada ringgit, terutama jika Fed melaksanakan pemotongan kadar seperti yang dijangka pasaran.
“Bagaimanapun, keputusan BNM mengenai OPR masih bergantung kepada faktor domestik, termasuk prospek pertumbuhan dan tekanan inflasi dalam negeri,” ujarnya.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat bahawa kemungkinan berlakunya penurunan pada kadar OPR akan datang.
“Namun, ia amat bergantung kepada situasi ekonomi global dan domestik, terutamanya dari sudut prospek pertumbuhan.
“Sekiranya prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin lemah berikutan perang perdagangan yang sedang berlangsung, maka akan terdapat keperluan untuk mengurangkan OPR.
“Bagaimanapun, buat masa ini, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia masih lagi berada dalam keadaan yang baik dengan kadar pengangguran yang dijangka kekal rendah. Justeru, pihak BNM dijangka akan mengekalkan OPR pada paras 3.0 peratus bagi tahun ini,” katanya. – UTUSAN