Sri Pahang mahu tamat badi kekalahan

Sukan

KUANTAN: Sri Pahang FC tiada pilihan selain melakar kemenangan ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Pengendalinya, Fan Ahmad berkata, kemenangan itu penting bagi menamatkan siri kekalahan Tok Gajah, sekaligus mengutip tiga mata bagi memperbaiki kedudukan.

Skuad kendalian Fandi lebih menonjol dalam saingan Piala  Malaysia tetapi tidak di Liga Super hingga tewas 2-1 dengan Kuching FC dan 5-2 di tangan Selangor FC.

Aksi malam ini juga boleh dijadikan sebagai penentu untuk Fandi menilai kemampuan pemain untuk melengkapkan skuad final Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) April depan.

“Ada dua perlawanan liga Super sebelum akhir Piala Malaysia, pemain perlu menunjukkan aksi terbaik mereka untuk terpilih bermain di Final Piala Malaysia,” kata Fandi.

Sri Pahang yang berada di tangga ke-11 carta liga Super perlu menang ke atas pasukan ditangga kelapan itu bagi mengelak dari semakin jauh terperosok ke kelompok bawahan.

Selepas mencuba beberapa gandingan terutama di jentera serangan, Fandi sudah tentu mengenal pasti pemain dan gerakan taktikal yang boleh diharap untuk mendapatkan gol.

Yang pasti anak buah Fandi mungkin akan kecewa lagi jika tidak waspada dengan ketajaman skuad The Cops yang diketuai oleh  Ifedayo Olusegun.

Penyerang harapan PDRM itu sudah membuktikan gandingan mereka amat berbisa dan mampu untuk menewaskan Zarif Irfan untuk Sri Pahang terus tewas buat kali ke tujuh-UTUSAN