Anak Peter Anthony galas tugas Presiden KDM

Politik

PENAMPANG: Timbalan Presiden, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter yang merupakan anak kepada Datuk Peter Anthony diberi amanah untuk menggalas tugas presiden parti itu.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti KDM yang diadakan semalam.

Priscella akan dibantu oleh lagi Timbalan Presiden, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM.

Setiausaha Agung KDM, Willie Jude berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat bagi kebaikan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes presiden (Peter).

“Ia (keputusan) juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan.

“Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti dan saya yakin dengan hubungan kami yang sudah seperti sebuah keluarga, kami mampu menghadapi setiap rintangan yang ada selepas ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan lain, Willie berkata, mesyuarat pimpinan tertinggi turut memutuskan bahawa KDM kekal dengan pendirian untuk bertanding secara solo pada PRN17.

“Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun, ini perjuangan untuk Sabah, untuk rakyat,” katanya.

Mahkamah Rayuan baru-baru ini memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu gagal dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada  2022. – UTUSAN