Pengundi perlu bijak pilih calon untuk bangunkan kawasan

Politik

IPOH: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer kuning diharap membuat penilaian bijak dengan memilih calon parti kerajaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, tiada keperluan untuk pengundi memilih calon parti pembangkang kerana ia tidak akan mengubah kerajaan.

“Adalah pelik bagi pengundi Ayer Kuning jika memilih pembangkang, sangat pelik kerana keputusan PRK Ayer Kuning tidak akan mengubah kerajaan.

“Jadi, adalah lebih baik mereka memilih calon kerajaan sebagai wakil rakyat sebab lebih mudah untuk membangunkan kawasan tanpa perlu maki hamun orang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini hari ini.

Menurut beliau, kawasan Ayer Kuning telah mengalami pembangunan yang baik di bawah wakil rakyat Allahyarham Datuk Azman Mahalan selama empat penggal sejak 1986 sebelum ia diteruskan oleh Datuk Samsudin Abu Hassan dan Allahyarham Ishsam Shahrudddin.

“Daripada aspek pembangunan fizikal, saya yakin ia telah disempurnakan, malah kita akan tambah lagi. Sebab itu saya sebut, perlu untuk memenangkan calon daripada parti kerajaan kerana kita akan terus membangunkan masyarakat.

“Ini bukan macam Pilihan Raya Umum yang kita masih samar siapa kerajaan tapi sekarang kita sudah tahu kerajaan dan wakil rakyat sebelum ini pun daripada parti kerajaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 26 April depan bagi hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning manakala tarikh penamaan calon pada 12 April dan hari pengundian awal pula pada 22 April depan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di George Town, Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – UTUSAN