KUALA NERUS : Gangguan pada saat-saat akhir terhadap program bersama rakyat yang dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu hari ini tidak sewajarnya berlaku.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pada Ramadan tahun ini, pemimpin nombor dua negara itu dijadual turun padang ke lima negeri untuk bersama-sama rakyat.
Katanya, Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad yang dijadualkan berlangsung di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu itu adalah program yang dilaksanakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Semua program yang dihadiri TPM (Timbalan Perdana Menteri) adalah melibatkan agensi persekutuan dan semua pihak dijemput hadir. Contohnya semalam di Melaka, TPM sampaikan bantuan kepada rakyat melalui agensi KKDW iaitu Kemas (Jabatan Kemajuan) Masyarakat.
“Begitu juga di Terengganu hari ini ada sumbangan kepada rakyat melalui Felcra, namun ada isu gangguan pentadbiran pada saat-saat akhir yang saya fikir tidak sewajarnya berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini, hari ini.
Semalam, tular dalam media sosial sekeping surat rasmi bertarikh 7 Mac 2025 memaklumkan, pembatalan permohonan program tersebut di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob dan Masjid Haji Abdul Rahman Limbong di Kuala Telemong, Hulu Terengganu.
Mohd. Khairuddin berkata, sebagai Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri dan rakyat Terengganu, beliau berasa kesal dengan apa yang berlaku.
“Program TPM berbuka puasa dan solat tarawih itu bertujuan mendekatkan dan menyatukan pemimpin bersama rakyat segenap lapisan. Ramadan adalah bulan untuk menyatukan semua yang berbeza. Kalau ada perkara yang tidak kita setuju, ini masanya untuk berunding secara baik.
“Apa pun kita ambil positif dengan semua yang berlaku dan program berbuka puasa tetap diteruskan petang ini, cuma solat tarawih belum pasti bagaimana keputusannya,” katanya. – UTUSAN