Pemilihan UMNO cara lama kembalikan politik wang

Politik

ALOR SETAR: UMNO Bahagian Langkawi menentang sebarang cadangan untuk mengembalikan sistem pemilihan lama dalam parti yang disifatkan kurang inklusif dan langkah ke belakang.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib berkata, sistem lama bukan sahaja tidak relevan dengan realiti politik semasa, malah bercanggah dengan prinsip demokrasi dan keterbukaan diperjuangkan parti.

Menurutnya, perubahan yang dilakukan sebelum ini bertujuan memastikan pemilihan kepemimpinan parti lebih adil, telus dan menyeluruh. 

“Oleh itu, hak memilih pemimpin perlu dikekalkan kepada ahli akar umbi dan bukan hanya terhad kepada perwakilan yang dihantar ke Perhimpunan Agung UMNO.

“Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan demokrasi dan keterbukaan, langkah mengembalikan sistem lama yang kurang inklusif adalah satu langkah ke belakang dan tidak mencapai matlamat utama UMNO,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, parti itu sedia mempertimbangkan untuk meminda proses pemilihan sebagai sebahagian perubahan struktur meluas, dengan mengambil kira cabaran semasa.

Tambah Mohd Nazifuddin, cadangan untuk mengembalikan sistem lama yang hanya memberikan hak mengundi kepada 2,500 perwakilan menimbulkan kebimbangan besar terhadap isu politik wang.

Beliau berkata, dengan hanya mengehadkan 2,500 perwakilan yang mengundi, risiko penyalahgunaan wang oleh individu atau kumpulan berkepentingan dilihat semakin tinggi.

“Sebaliknya, sistem semasa membolehkan hampir 150,000 ahli akar umbi di 20,000 cawangan daripada 191 bahagian seluruh negara untuk mengambil bahagian dalam pemilihan pemimpin tertinggi parti. Hak ahli akar umbi tidak boleh dinafikan demi kepentingan politik segelintir pihak.

“Saya dan kepimpinan UMNO Bahagian Langkawi tidak akan menyokong sebarang perubahan yang boleh mengorbankan prinsip asas demokrasi dalaman dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO,” katanya. – UTUSAN