HOUSTON: Pelaksanaan dasar perdagangan dan pembaharuan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang tidak teratur di bawah pimpinan Donald Trump boleh meningkatkan risiko negara itu mengalami ‘kemelesetan yang tidak boleh dielakkan’.
Pakar ekonomi S&P Global Ratings, Paul Gruenwald berkata, ketidakpastian berterusan yang dicetuskan Rumah Putih terhadap sejumlah tarif perdagangan menyebabkan sektor pelaburan perniagaan menjadi lembap, sekali gus mendorong pengguna untuk menarik balik perbelanjaan.
Katanya, langkah untuk mengecilkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan pembaziran yang dilakukan oleh hartawan AS, Elon Musk ketika ini juga mengganggu ekonomi negara ini.
“Ketika era Presiden Bill Clinton pada 1990-an, desakan pengecilan bajet kerajaan juga dilakukan, namun ia dilaksanakan secara teratur, bukan seperti sekarang.
“Saya faham Trump juga mempunyai objektif yang sama, namun ia dilakukan secara tidak teratur.
“Situasi itu boleh menyebabkan banyak syarikat dan pengguna menahan atau menghentikan perbelanjaan mereka, menyaksikan permintaan pasaran ditarik balik yang akhirnya menyebabkan kemelesetan ekonomi yang tidak boleh dielakkan,” kata Gruenwald.
Beliau berkata, ekonomi AS berada pada tahap kukuh apabila Trump mengambil alih pentadbiran dari Joe Biden pada Januari lalu sebelum pelaksanaan pelbagai tarif perdagangan yang disifatkan ‘tidak munasabah’.
Gruenwald juga menyatakan peningkatan dalam indeks ketidaktentuan dasar ekonomi AS sejak Trump Kembali ke Rumah Putih dengan merekodkan tahap tertinggi dalam temph 40 tahun.
Dalam pada itu, Trump menerusi idea ‘gilanya’ memaklumkan beliau akan mengenakan lebih banyak tarif perdagangan, beberapa jam selepas mengenakan tarif terhadap import besi dan aluminium.
“Apa sahaja tindakan mereka (Eropah dan Kanada), AS akan balas,” ujar Trump.
Ancaman itu menyaksikan perang perdagangan antara AS dengan beberapa negara ekonomi utama dunia semakin meruncing.
Sebagai tindakan balas, Kesatuan Eropah (EU) akan mengenakan pula tarif terhadap barangan AS bernilai 26 bilion euro (RM125.66 bilion) bermula bulan depan.
Suruhanjaya Eropah (EC) turut mengumumkan akan menamatkan penggantungan tarif terhadap produk AS pada 1 April ini dan bakal mengemukakan pakej langkah balas baharu menjelang pertengahan bulan depan.