Aznan Abdul Aziz dilantik Timbalan Gabenor BNM berkuatkuasa 1 April 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan pelantikan Aznan Abdul Aziz sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 April 2025.

Sebagai Timbalan Gabenor, Aznan akan memantau sektor penyeliaan dan pengawalan.

Beliau akan menjadi ahli Lembaga Pengarah BNM dan Jawatankuasa Dasar Monetari.

BNM berkata, Aznan juga akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Dasar Bersama, Jawatankuasa Penguatkuasaan, Jawatankuasa Digital dan Teknologi serta Jawatankuasa Pengurusan Krisis.

“Aznan merupakan pemegang Ijazah Ekonomi dan Perakaunan daripada University of Bristol, United Kingdom.

“Pada masa ini, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga bagi International Islamic Liquidity Management Corporation, ahli Lembaga Pengarah dan ahli Jawatankuasa Audit dan Risiko Lembaga bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi International Association of Insurance Supervisors dan ahli ex officio bagi Yayasan Laporan
Kewangan (Financial Reporting Foundation),” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, BNM juga mengumumkan pelantikan Datuk Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penasihat Teknikal berkaitan hal ehwal kestabilan kewangan berikutan persaraan beliau daripada BNM.

Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bagi pihak BNM, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jessica atas sumbangan besar beliau kepada BNM dan negara.

“Datuk Jessica sentiasa memberikan sokongan dan pandangan yang bernas sepanjang perkhidmatan beliau selama 34 tahun demi mencapai mandat strategik BNM dan kecemerlangan
organisasi.

“Saya juga menghargai kesediaan beliau untuk terus menyokong BNM dalam bidang teknikal yang berkaitan dengan kestabilan kewangan,” katanya.

Jelas Abdul Rasheed, berikutan pelantikan Aznan sebagai Timbalan Gabenor, BNM juga mengumumkan pelantikan Cindy Siah Hooi Hoon sebagai Penolong Gabenor.

“Cindy akan bertanggungjawab ke atas jabatan Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Penyeliaan Perbankan, Penyeliaan Insurans dan Takaful, Pakar Risiko dan Penyeliaan Teknologi serta Pemantauan Perkhidmatan Pembayaran.

“Sebelum pelantikan ini, Cindy pernah berkhidmat di Jabatan Dasar Kewangan Pruden dan Jabatan Penyeliaan Perbankan.

“Beliau ditauliahkan sebagai Fellow of the Association of Chartered Certified Accountants dan Chartered Financial Analyst dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan daripada University of Warwick, United Kingdom,” katanya. – UTUSAN