Kerjasama PRN, parti tempatan jangan jadi pak turut

Politik

KOTA KINABALU: Tidak salah untuk menjalin kerjasama dengan parti nasional sekiranya ia boleh meningkatkan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman berkata, perjuangan berasaskan parti tempatan itu adalah tepat namun, kenapa tidak,jika perlu ada gabungan atau kerjasama yang boleh menyumbang kepada kemenangan.

“Tapi yang penting, parti tempatan yang mengemudi. Jangan kita jadi pak turut…negeri kita orang lain yang buat keputusan. Jadi, pemimpin di Semenanjung harus menghormati kita di Sabah.

“Kitalah yang sepatutnya menyokong siapa pimpin kita, bukan dari Semenanjung. Kita mahu seorang Ketua Menteri yang disokong oleh rakyat Sabah,” katanya semasa Majlis Iftar Invest Sabah Berhad, di sini semalam.

Beliau berkata demikian semasa ditanya pandangannya mengenai perjuangan parti tempatan yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin di negeri ini.

Mengulas keperluan GRS bergerak solo atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Anifah yang juga Pengerusi Invest Sabah berkata, biarlah perkara itu dibincangkan dengan sebaik mungkin kerana ia melibatkan kepentingan negeri dan rakyat.

“Kita tidak boleh buat keputusan terburu-buru. Kita kena putuskan apa yang terbaik untuk rakyat Sabah,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan kembali bertanding, Anifah berkata, sekiranya masih diberi kepercayaan untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat Sabah, beliau akan pertimbangkan.

Walau bagaimanapun, jika PCS tidak bertanding pada PRN17 sekali pun katanya,  beliau tetap menyokong GRS kerana itu adalah alternatif dan pilihan terbaik untuk rakyat Sabah.

“Pada saya, ini bukan soal kerusi. Ini tentang kerusi yang kita tanding itu boleh menang atau tidak. Tiada gunanya mempunyai lima atau 10 kerusi, kalau kita tak boleh menang. Apa pun kita akan cari jalan terbaik. Ini bukan soal individu atau calon, ini tentang masa depan negeri Sabah,” katanya. – UTUSAN