Selangor waspada ancaman Kuching City

Sukan

PETALING JAYA: Selangor FC tidak memandang mudah cabaran Kuching City menjelang pertembungan Liga Super 2024/2025 di Stadium Negeri, malam ini.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menegaskan pasukannya berada pada tahap terbaik dan berusaha untuk mendapatkan mata maksimum musim ini.

“Persiapan berjalan seperti biasa, dan kami sentiasa mengambil serius setiap perlawanan yang dihadapi. Pemain-pemain berada dalam keadaan bermotivasi tinggi untuk memberikan prestasi terbaik di atas padang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun, Selangor FC dijangka merehatkan pemain import mereka, Ali Olwan, namun semuanya bergantung kepada keadaan semasa pemain tersebut.

Mahfizul menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan pemain itu sebelum membuat keputusan muktamad menjelang perlawanan.

“Kami sentiasa memantau keadaan semasa pasukan dan akan membuat keputusan terbaik untuk memastikan keseimbangan skuad. Apa yang penting, setiap pemain bersedia untuk turun dengan semangat juang tinggi,” tambahnya.

Selangor FC ketika ini berada dalam kedudukan yang baik dalam saingan Liga Super, namun tetap berwaspada dengan ancaman Kuching City yang beraksi di laman sendiri.

Pertemuan terakhir menyaksikan skuad Gergasi Merah berjaya tewaskan Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan jaringan 4-0.

Selangor kini berada di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 46 mata, manakala Kuching City pula berada di kedudukan ketiga dengan 36 mata.-UTUSAN