Offspring bantu kanak-kanak Palestin menerusi Kempen Riang Ria Sya-Whale

Perniagaan

PETALING JAYA: Offspring Inc., anak syarikat SEDANIA Innovator Berhad melancarkan Kempen Riang Ria Sya-Whale Raya yang memperkenalkan edisi khas Lampin Fashion Offspring sambil membantu kanak-kanak Palestin.

Kempen dengan kerjasama Mercy Malaysia ini menghidupkan semangat sebenar Ramadan dalam usaha memberikan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Melalui Kempen Kutipan Dana Offspring x Mercy Malaysia ‘Riang Ria Sya-Whale’, setiap pembelian dua pek lampin Fashion Offspring biasa akan menyumbang 75 sen bagi menyokong keperluan kanak-kanak di Palestin.

Inisiatif ini memastikan setiap ibu bapa yang mengambil bahagian bukan sahaja memberikan bayi mereka lampin premium mesra alam, tetapi juga membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang memerlukan.

Pengarah Urusan dan Pengasas SEDANIA Innovator Berhad, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, dalam menyambut keberkatan Ramadan dan kegembiraan Hari Raya, Offspring berbangga untuk terus mengangkat nilai kelestarian dan tanggungjawab sosial.

“Kerjasama dengan Mercy Malaysia ini adalah satu jemputan ikhlas kepada semua ibu bapa kerana setiap pembelian lampin adalah satu langkah kecil untuk membantu kanak-kanak yang
Memerlukan.

“Di SEDANIA, memberi kembali bukan sekadar satu nilai, tetapi satu komitmen untuk membuat pilihan yang dapat meningkatkan kesejahteraan pengguna dan mereka yang sedang menghadapi kesulitan.

“Kanak-kanak adalah masa depan kita, dan melalui kempen ini, kami berharap dapat membawa keselesaan dan harapan kepada si kecil di Palestin. Walau sekecil mana pun kebaikan, ia mampu memberi impak yang besar,” katanya dalam kenyataan.

Kutipan dana berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2025 dan pembelian boleh dibuat melalui laman web Offspring www.offspringinc.com, Shopee, Lazada, TikTok Shop, pasar raya AEON (Semenanjung Malaysia), Farmasi Caring (seluruh negara) dan Very Important Baby (VIB) Outlets, Happikiddo dan kedai produk bayi terpilih.

Jumlah kutipan akan ditentukan berdasarkan data jualan runcit daripada peruncit yang mengambil bahagian sepanjang tempoh kempen.

Lampin Fesyen Edisi Terhad ‘Riang Ria Sya-Whale’ sesuai bagi ibu bapa yang mencari keseimbangan antara praktikaliti dan fesyen.

Ia menawarkan penyelesaian yang bergaya, lestari dan berkualiti tinggi untuk si kecil.

Menampilkan reka bentuk bertemakan paus yang comel, diinspirasikan oleh semangat kegembiraan raya, lampin ini boleh didapati dengan diskaun eksklusif sehingga 25 peratus sepanjang tempoh kempen.

Sementara itu, Pengerusi SEDANIA Innovator Berhad, Tun Md Raus Sharif berkata,dengan kerjasama bersama Mercy Malaysia, pihaknya bukan sahaja memberikan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan malah memupuk budaya keprihatinan yang melangkaui produk SEDANIA.

“Melalui perkongsian yang bermakna seperti ini, kami berharap dapat menginspirasi budaya memberi dan mencipta perubahan positif yang berkekalan,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.offspringinc.com atau ikuti Offspring di laman media sosial. – UTUSAN