KUALA LUMPUR: Kementerian Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) diberi sasaran untuk meningkatkan nilai eksport barangan sebanyak lima peratus kepada RM1.58 trilion pada 2025.
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sasaran berkenaan disuarakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz susulan kejayaan agensi di bawah kementerian itu melepasi nilai eksport barangan sebanyak RM1.5 trilion pada tahun lalu.
“Alhamdulillah bila berakhirnya 2024, kita berjaya mencatat RM1.51 trilion, tambahan lebih kurang RM10 billion daripada sasaran sebenar. Ini satu lagi kejayaan yang amat menakjubkan.
“Membuka pintu 2025, kita melihat kemungkinan berdepan dengan beberapa cabaran antaranya ketidaktentuan dari segi ketegangan geopolitik, perang perdagangan yang sekarang dikatakan sebagai perang teknologi (tech war), ia bukan perang perdagangan lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar MATRADE 2025 di sini, semalam.
Dalam pada itu, kejayaan besar dalam pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), China-ASEAN Expo dan China International Import Expo (CIIE) telah membantu memperkukuh daya saing Malaysia di pasaran global.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia perlu menangani cabaran seperti ketidaktentuan geopolitik, perang perdagangan teknologi, serta perubahan dasar ekonomi global, khususnya dari Amerika Syarikat dan China.
“Kami yakin sasaran RM1.58 trilion boleh dicapai dengan strategi yang betul serta kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya. – UTUSAN