PETALING JAYA: Bursa Malaysia didagangkan rendah seiring pasaran serantau susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif sekurang-kurangnya 10 peratus kepada semua negara bermula pada 5 April serta ‘tarif timbal balik individu yang lebih tinggi’ di negara tertentu berkuat kuasa 9 April.
Negara-negara ASEAN akan menjadi antara yang terjejas tinggi, dengan Malaysia menghadapi tarif timbal balik sebanyak 24 peratus.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.61 mata kepada 1,518.91 daripada 1,526.52 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 9.22 mata lebih rendah pada 1,517.30.
Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 548 berbanding 357 dengan 448 kaunter tidak berubah dan 994 tidak diniagakan.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kesan tarif yang diperkenalkan oleh Trump memang memberi kesan yang kurang baik kepada pasaran ekuiti tempatan namun, bersifat sementara sahaja.
“Dalam keadaan demikian sokongan daripada pemain dana tempatan amat penting seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan juga para pemain dana amanah (unit trust) perlu lebih signifikan.
“Kesan ini bukan sahaja di Malaysia namun juga terkesan di negara ASEAN lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, waktu ini adalah masa yang terbaik untuk pemain dana tempatan membeli saham2 yang kukuh pada harga yang terendah untuk mendapatkan keuntungan modal dan juga dividen.
“Saya menjangkakan kadar antara 1,510 hingga ke 1,550 pada minggu ini. Saya menjangkakan pada minggu hadapan para pelabur runcit akan kembali aktif selepas cuti Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
AS mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia apabila Trump mengumumkan langkah-langkah baru yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.
Malaysia berada di kedudukan ke-11 dalam carta tarif timbal balik yang beliau pegang ketika membuat pengumuman yang dinanti-nantikan dari Rose Garden di Washington hari ini.
Carta tersebut menyatakan bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas AS.
Oleh itu, tarif timbal balik terhadap Malaysia dikira pada separuh daripada kadar yang sepatutnya dikenakan oleh Malaysia ke atas AS.
Menduduki senarai teratas adalah China, Kesatuan Eropah, Vietnam, Taiwan, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Switzerland, dan Indonesia.- UTUSAN