PETALING JAYA: Juara bertahan Boling Terbuka Malaysia, Gillian Lim, optimis mempu mempertahankan kejuaraan pada edisi 2025 yang berlangsung pada 13 hingga 20 April ini.
Menurut atlet berusia 26 tahun itu, pasukan Sweden dijangka menjadi pencabar utama sekali lagi tahun ini, namun beliau tetap percaya dengan kekuatan skuad negara.
“Saya rasa barisan pasukan lelaki dan wanita negara sangat kuat. Kami dibarisi oleh beberapa bekas juara dunia seperti Natasha Roslan dan Muhammad Rafiq Ismail.
“Buat masa ini, saya hanya fokus pada latihan dan cuba membawa rancangan permainan terbaik di Terbuka Malaysia,” kata Gillian.
Pada edisi tahun lalu, pemain boling kelahiran Kuching, Sarawak itu mencipta kejutan apabila menewaskan juara Terbuka Malaysia 2023, Lavinia Kho, dengan 235 jatuhan pin.
Dalam pada itu, Gillian menjadikan Terbuka Malaysia sebagai medan pemanas badan menjelang Jelajah Boling Profesional Wanita (PWBA), yang mana beliau bakal beraksi dalam lima siri kejohanan dari 8 Mei hingga 17 Jun di Amerika Syarikat (AS).
Beliau berharap pengalaman di kejohanan ini serta Terbuka Singapura dapat membantunya membuat persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.
“Kejohanan ini penting kerana saya mahu membiasakan diri dengan bacaan perubahan landasan. Harapnya, di PWBA nanti, saya dapat menerapkan apa yang saya praktikkan di Terbuka Malaysia.
“Kami perlu pantas membaca perubahan landasan dan menyesuaikan strategi kerana di PWBA, jurulatih tidak akan bersama kami,” jelasnya.
Selepas Terbuka Malaysia, Gillian dijadual beraksi di Terbuka Singapura dari 23 hingga 26 April sebelum berlepas ke AS pada 8 Mei ini bagi menghadapi PWBA.-UTUSAN