BAM perlu berani pecahkan beregu lelaki

Sukan

PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek menyarankan agar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berani melakukan perubahan termasuk memecahkan pasangan beregu lelaki sekiranya prestasi semasa tidak menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, langkah seumpama itu bukan sesuatu yang asing, malah telah mula dipraktikkan beberapa negara utama seperti Korea Selatan, Jepun dan China yang kini menunjukkan peningkatan ketara dalam acara beregu.

“Kita boleh lihat bagaimana negara seperti Korea Selatan sudah mula buat pecahan pasangan dan hasilnya memang menjadi. Kalau mereka boleh buat dan terbukti berkesan, apa salahnya kita juga berani buat benda yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang pernah berpasangan bersama Datuk Razif Sidek turut menegaskan bahawa keputusan memecahkan pasangan bukanlah semata-mata kerana tekanan luar, sebaliknya berdasarkan penilaian jurulatih serta kesediaan pemain itu sendiri untuk berubah.

“Bagi saya, jurulatih harus ambil pendekatan berbincang dengan pemain kerana mereka yang berada di gelanggang dan tahu apa yang berlaku. Kalau pasangan itu sendiri dah tak sehaluan, tak guna kita kekalkan lagi.

“Namun pemain juga perlu berani buktikan kemampuan jika diberi pasangan baharu. Kalau masih gagal beri keputusan, apa gunanya?” katanya.

Jalani turut menyifatkan kekurangan konsistensi dalam kalangan beregu negara berpunca daripada kelemahan fizikal dan mental ketika berdepan lawan lebih muda.

“Kalau tengok Aaron dan Wooi Yik, mereka antara yang terbaik. Tapi bila jumpa lawan muda, nampak sangat dari segi ketahanan mereka lemah. Bukan dari segi skil, tapi stamina dan mental bila nak habiskan permainan itu jadi isu.

“Saya sendiri dulu pernah bergaduh dengan Razif, tapi yang penting kena kenal pasti punca dan perbaiki. Kalau tak, sampai bila pun tak ke mana,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jalani berkata apa sahaja keputusan yang dibuat BAM haruslah berteraskan kepada matlamat utama iaitu meraih kejayaan di peringkat tertinggi.

“Pengurusan dan pemain kena duduk semeja. Kalau pecah beregu itu boleh bagi hasil, maka buatlah. Jangan tunggu sampai terlambat. Yang penting, kita mahu lihat Malaysia kembali gah dalam acara beregu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negara seperti Korea Selatan, China dan Taiwan telah memulakan langkah pecahan pasangan beregu antaranya ialah Juara All England 2025 dalam acara beregu lelaki, Seo Seung Jae-Kim Won Ho dari Korea Selatan merupakan pasangan baharu yang digandingkan bersama.

Pasangan dari Korea Selatan itu juga cemerlang di beberapa kejohanan yang lain antaranya Terbuka India dan dijangka akan menyerlah pada kejohanan Badminton Asia 2025 pada 8 hingga 13 April ini.-UTUSAN