Shereen raih emas di Amerika Syarikat

Sukan

PETALING JAYA: Pelari wanita negara Shereen Samson Vallabuoy meraih gelaran pertamanya tahun ini apabila meraih emas acara 400 meter (m) pada Kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic 2025 di Florida, Amerika Syarikat, semalam.

Shereen yang mewakili pasukan Life Speed muncul juara dengan catatan masa 53.72 saat (s) untuk meraih emas sementara pingat perak dimenangi Gabby Johnson daripada pasukan North Florida dengan catatan masa 55.17s manakala gangsa milik Nevaeh Lorjuste daripada pasukan Rowan (56.91s).

Bagaimanapun, kemenangan itu bukan sesuatu yang mudah buat pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu kerana dirinya kerana perlu berhadapan dengan beberapa cabaran sebelum meraih kemenangan.

“200m pertama agak mencabar disebabkan cuaca berangin dan arah angin berlawanan.

“Namun secara keseluruhan, beliau berasakan sangat baik dari segi teknikal dan berlari dengan penuh kekuatan,” menurut status Facebook Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Kemenangan itu sudah pasti akan menaikkan moral atlet berusia 27 tahun untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas ini, termasuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun pada September depan dan Sukan Sea Thailand 2025 hujung tahun nanti.

Untuk rekod, Shereen adalah pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m dengan catatan 51.79s yang dilakukannya pada Kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencatat masa 20.79 saat (s) dalam acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays.

Azeem bukan sahaja muncul juara dalam saringan keenam, malah catatan itu hampir memadam rekod kebangsaan 200m milik Russel Taib yang bertahan sejak 2019 dengan perbezaan tipis 0.02s.

Mewakili Universiti Auburn, pelari berusia 20 tahun itu juga berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik apabila berada di kedudukan ke-13 daripada 45 peserta keseluruhan, sekali gus menjadi pelari kedua terpantas dari universiti berkenaan.-UTUSAN