NIBONG TEBAL : Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Nibong Tebal pada pemilihan parti itu bulan depan.
Menurut Fadhlina, keputusan tersebut dibuat kerana beliau berasa terhutang budi dan khidmat kepada Nibong Tebal selama ini.
Katanya, kerja keras anggota parti, pasukan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat di kawasan itu telah menghantar beliau ke Parlimen sebagai wakil rakyat untuk Nibong Tebal.
“Maka, izinkan saya dengan rendah dirinya untuk menawarkan diri dan khidmat kebaktian tertinggi untuk parti di cabang Nibong Tebal.
“Saya dan rakan-rakan mempertaruhkan seluruh jiwa, tenaga dan pasukan kami dengan kekuatan kemajmukan dan semangat keluarga besar Keadilan (PKR),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut berterima kasih kepada bekas Ketua Cabang PKR Nibong Tebal sebelum ini, Datuk Dr. Amar Pritpal yang disifatkannya sebagai berani dan berjiwa besar untuk membuat keputusan itu secara bersama.
“Pengalaman beliau (Amar) yang cukup panjang dalam parti ini membuatkan saya kekal memilih beliau sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal,” kata Fadhlina yang turut memebri penghargaan kepada semua pemimpin reformis yang terlibat.
Tambah beliau, ahli PKR seharusnya merangkul setiap kekuatan yang ada selain menerajui iltizam untuk memperkukuh parti dalam kepelbagaian menerusi bingkai kesatuan.
“Justeru, kami bertekad untuk memimpin serta menavigasi cabang Keadilan yang telah menghimpun kekuatan anggota parti yang komited sepanjang ia ditubuhkan,” ujarnya.
Pemilihan PKR bagi peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan pada 11 hingga 20 April ini manakala pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) serta Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti pula akan dilaksanakan pada 24 Mei depan.-UTUSAN