SUZUKA: Juara dunia empat kali, Max Verstappen terus membuktikan keunggulannya apabila menjuarai Grand Prix (GP) Jepun di Litar Suzuka, semalam, sekali gus meraih kemenangan keempat berturut-turut di litar tersebut.
Pemandu Red Bull itu mencatat kemenangan pertama musim ini selepas menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 1.4 saat di hadapan pencabar terdekat, Lando Norris dari McLaren yang menduduki tempat kedua.
Seorang lagi pemandu McLaren, Oscar Piastri melengkapkan podium di tempat ketiga pada hari lahirnya yang ke-24.
“Hujung minggu yang memberangsangkan selepas permulaan yang kurang baik. Ia kemenangan yang cukup bermakna buat pasukan,” kata Verstappen yang kelihatan gembira selepas perlumbaan.
Dalam saingan sengit di litar ikonik berbentuk angka lapan itu, kesemua 20 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang insiden besar dalam perlumbaan sebanyak 53 pusingan.
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc berada di kedudukan keempat, diikuti pemandu Mercedes, George Russell dan Andrea Kimi Antonelli yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan keenam.
Lewis Hamilton pula berada terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh selepas berjaya naik satu kedudukan.
Kemenangan ini menyaksikan kedudukan Verstappen dalam kejuaraan pemandu semakin kukuh, dengan hanya satu mata memisahkan beliau dan Norris yang kini mendahului carta kejuaraan.-UTUSAN