NIBONG TEBAL : Pulau Pinang telah mengumpul dan menghantar beberapa maklum balas awal yang diterima daripada pihak industri di negeri ini berhubung tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, maklum balas itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk penelitian lanjut.
Kon Yeow yang juga memegang portfolio Pembangunan Ekonomi negeri berkata, satu sesi ‘meja bulat’ akan turut diadakan bersama wakil daripada Penang Institute serta persatuan-persatuan industri untuk membincangkan perkara berkenaan, Jumaat ini.
“Disebabkan perkara ini (tarif timbal balik) masih di peringkat awal, maka, banyak pihak sudah kemukakan kenyataan dan pandangan masing-masing termasuk Perdana Menteri, Menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) serta Menteri Kewangan Kedua.
“Semua pihak menyuruh supaya kita sabar untuk memahami (tarif timbal balik ini) dengan lebih teliti lagi kerana senarai produk yang akan dikenakan tarif itu adalah amat panjang dan amat terperinci.
“Dalam hal ini, kalau kita perhatikan ulasan pakar pun, ada antara mereka yang menjangkakan berlakunya impak terhadap ekonomi di Malaysia termasuk Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kadun) Jawi di Kampung Bagan Buaya Changkat, di sini, hari ini.
Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua barangan import bermula 5 April selain mengenakan tarif timbal balik lebih tinggi terhadap negara dan wilayah yang mencatat defisit dagangan terbesar dengan berkuat kuasa 9 April ini.
Susulan tindakan pemimpin tersebut, beberapa negara mula mengumumkan hasrat untuk mengambil tindakan balas terhadap kenaikan tarif berkenaan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, meskipun rata-rata pihak melihat keputusan AS untuk mengenakan tarif itu memberi impak yang negatif, namun, ada juga segelintir pihak yang melihat keputusan tersebut daripada aspek positif.
Hal ini demikian kerana katanya, tarif yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia dikatakan lebih rendah berbanding negara jiran termasuk Vietnam, Thailand, Indonesia yang sememangnya bersaing negara ini.
“Oleh kerana tarif yang lebih rendah ini, maka, ada ulasan kata, sebenarnya, kita akan menjadi destinasi pelaburan yang lebih menarik. Namun, ini semua pandangan awal sahaja.
“Kita ambil maklum dan saya percaya Kerajaan Persekutuan khususnya iaitu setelah meneliti semua maklum balas (yang diterima), maka, kita akan ada satu prinsip yang sudah pun dinyatakan melalui rundingan dengan pihak AS untuk melihat macam mana pengiraan peratusan tarif itu nanti dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN