Cklamovski boleh pilih lawan aksi persahabatan

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya untuk memilih lawan yang bakal dihadapi dalam aksi persahabatan sebelum berdepan Vietnam pada 10 Jun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, barisan kejurulatihan yang diketuai Peter Cklamovski lebih mengetahui selok-belok dan keperluan pasukan bagi menyediakan barisan yang lebih mantap kelak.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha membantu skuad Harimau Malaya dalam menyediakan keperluan bagi memastikan pasukan kebangsaan berada pada tahap terbaik bagi meneruskan momentum kemenangan bertemu Vietnam.

“Kita serahkan kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk menentukan lawan pada aksi pemanas badan itu.

“Mungkin ada perlawanan persahabatan, namun jurulatih lebih mengetahui keperluan untuk pasukan,” katanya.

Sebelum ini, Cklamovski mengesahkan Harimau Malaya bakal mengadakan dua aksi pemanas badan sebelum bertemu Vietnam Jun ini dalam aksin kelayakan Piala Asia 2027

Aksi ini cukup penting buat kedua-dua pasukan kerana momentum kemenangan mampu menentukan siapa bakal menerajui Kumpulan F yang turut dianggotai Nepal dan Laos.

Justeru, Cklamovski memaklumkan dua aksi pemanas badan bakal diatur supaya barisan pemain dapat mengekalkan momentum terbaik mereka dalam usaha mengatasi gergasi Asia Tenggara itu.

“Kita berdepan situasi di mana musim (Liga Super) berakhir pada penghujung April. Pemain-pemain memerlukan sedikit aksi kompetitif memandangkan liga baru berehat.

“Kita perlu pastikan persediaan kita tepat apabila kita tiba dan kem (latihan) dilanjutkan sedikit untuk fokus kepada Vietnam, lawan kita yang paling sukar,” katanya.-UTUSAN