PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka menguncup antara satu ke dua peratus susulan dasar baharu tarif Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, unjuran itu disebabkan peningkatan halangan ekonomi dalam sektor pembuatan dan perdagangan yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.
Katanya, ini sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara yang dijangka bergerak lebih perlahan.
“Akan ada kesan (penurunan) ekonomi walaupun nilai dagangan Malaysia dan AS tidak tinggi iaitu kira-kira dua peratus daripada jumlah keseluruhan nilai dagangan. Ini disebabkan rantaian global yang lebih perlahan daripada AS dan negara lain serta kelembapan dalam sektor luaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kerajaannya memperkenalkan tarif asas 10 peratus kepada semua negara dan duti lebih tinggi membabitkan 60 buah negara.
Malaysia termasuk dalam senarai 15 negara utama yang terlibat dalam dasar tarif baharu tersebut apabila dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.
Pakar ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob pula berkata, Malaysia akan terkesan secara langsung dan tidak langsung kerana dasar tarif itu melibatkan banyak industri negara.
Kata beliau, jika langkah proaktif tidak diambil segera oleh kerajaan, ia akan memberi impak kepada pekerja dan kehidupan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, apa yang perlu Malaysia buat ialah pertama, mengadakan perbincangan dua hala dengan AS mengenai perdagangan demi kepentingan industri di negara-negara membangun seperti Malaysia.
Kedua, meningkatkan asas ekonomi negara seperti melabur dalam teknologi tinggi, infrastruktur digital dan tenaga hijau, ketiga, mempertkukuh integrasi dan solidariti antara negara ASEAN dalam memperjuangkan perundingan perdagangan global.
“Buat masa ini, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti perlu memantau situasi semasa supaya tidak ada kejutan atau tekanan daripada pelabur terutama pelabur tempatan. Kemungkinan boleh menggunakan polisi kewangan yang lebih fleksibel,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pertumbuhan KDNK diramal terkesan secara langsung dengan penyusutan antara 0.5 hingga satu peratus pada suku pertama dan kedua 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun begitu, beliau optimis ekonomi negara akan kembali pulih dan mencatatkan pertumbuhan positif menjelang suku akhir tahun hadapan.
Katanya, kesan daripada penyesuaian dasar serta peralihan tumpuan sektor tertentu ke negara-negara lain selain AS akan membantu menstabilkan semula ekonomi.
“KDNK dijangka meningkat semula pada kadar sasaran antara 4.5 hingga lima peratus pada suku keempat 2025. Pemulihan itu turut dipacu oleh keseimbangan pertumbuhan dalaman dan luaran yang mampu menyerap kesan kenaikan tarif secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 30,000 hingga 80,000 orang dijangka akan kehilangan pekerjaan mereka dalam tempoh satu hingga dua tahun ini susulan tindakan AS tersebut.
Antara sektor mempunyai kaitan langsung dengan eksport ke AS yang dijangka terjejas ialah elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit mentah, jentera dan peralatan perubatan dan bahagian optik.
Selain itu, turut dijangka terjejas adalah eksport getah (pakaian, sarung tangan pembedahan, tiub dan paip diperbuat daripada getah) serta perabot, papan tanda, lampu, bahan binaan pasang siap (termasuk lampu, pemasangan lampu, papan tanda bercahaya dan plat tanda).
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, UiTM Kampus Puncak Alam, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, langkah tersebut boleh mencetuskan kebimbangan terhadap penurunan eksport dan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, situasi tidak menentu mungkin mendorong berlakunya fenomena mengikut tindakan majoriti atau herding behavior dalam kalangan pelabur, di mana mereka bertindak menarik keluar modal secara besar-besaran kerana terpengaruh dengan persepsi risiko yang meningkat.
“Berdasarkan teori kesan isyarat, tindakan perlindungan perdagangan oleh AS boleh ditafsir sebagai isyarat negatif terhadap hubungan dua hala Malaysia-AS. Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing dalam jangka masa pendek,” kata beliau.-UTUSAN.