PENGURUSAN sisa pepejal dan sistem peparitan yang tidak sempurna dari Pekan Mambang Diawan menuju Tanjong Keramat dan Tapah Road antara perkara yang diminta penduduk Ayer Kuning untuk diselesaikan oleh bakal wakil rakyat baharu yang akan dipilih dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut pada 26 April ini.
Hal ini kerana tapak pembuangan sampah di Kampung Tradisi, Sungai Kroh di Tapah menjadi rungutan dalam kalangan penduduk kerana lokasinya terletak di jalan utama, selain terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah bukan domestik di situ.
Sedangkan, Majlis Daerah Tapah (MDT) sudah menyediakan lokasi itu untuk memberi kemudahan kepada penduduk kampung tanpa sebarang bayaran.
Tinjauan mendapati, perabot lama serta sisa-sisa industri dan pertanian dibakar begitu sahaja, lantas menyebabkan pencemaran udara, selain lokasinya terletak bersebelahan tanah perkuburan.
Selain itu, kurangnya tong sampah pukal atau roll on roll off (RORO) di kawasan kampung berkepadatan tinggi menyebabkan pembuangan sisa pepejal itu secara tidak sempurna dan boleh menjejaskan kesihatan.
Masalah sistem peparitan yang tidak sempurna dari Pekan Mambang Diawan menuju Tanjong Keramat dan Tapah Road turut menyebabkan ada kediaman yang dimasuki air, selain jalan-jalan utama digenangi air semasa hujan lebat juga memerlukan penyelesaian segera.
Penduduk setempat dilihat pro-aktif membersihkan parit-parit itu, namun setiap kali berlakunya banjir kilat ia membuatkan orang ramai mengalami kesukaran.
Isu ketiga adalah tekanan air rendah di taman perumahan dan kampung yang memaksa penduduk menggali telaga tiub untuk kemudahan mereka.
Pertambahan penduduk terutama mereka yang telah berpencen dan bersara yang menetap di Ayer Kuning memerlukan tangki air baharu bagi memenuhi keperluan domestik.
Isu keempat, terdapat beberapa masalah melibatkan geran dan status tanah yang menjangkau tempoh beberapa tahun masih tidak menemui penyelesaiannya.
Status Pekan Ayer Kuning yang terletak di tengah-tengah laluan ke Tapah, Teluk Intan dan Kampar yang telah membangun, mungkin menyebabkan ia tidak banyak berubah sekian lama.
Namun, perlu ada kesungguhan daripada wakil rakyat baharu untuk menyelesaikan isu-isu kemudahan asas dengan sempurna, selain mencipta identiti tersendiri bagi kawasan itu.
Seramai 31,897 pengundi di kerusi DUN Ayer Kuning mahu isu-isu tersebut diselesaikan.
DUN Ayer Kuning merangkumi daerah Tapah, Teluk Intan dan Kampar dengan terdapatnya 20 pusat daerah mengundi (PDM).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UTUSAN