PETALING JAYA: Barisan kejurulatihan Harimau Malaya bakal dirombak dalam masa terdekat susulan khidmat penolong jurulatih skuad kebangsaan, Mark Milligan bakal berakhir.
Bekas pemain kebangsaan Australia itu, difahamkan telah ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih kelab A-League di Australia, Newcastle Jets dengan kontrak selama dua tahun.
Meskipun tiada sebarang pengesahan lanjut berkaitan situasi berkenaan namun penolong kepada pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski itu sudah dicanang media negara terbabit bakal menerajui Newcastle Jets.
Bekas perancang tengah pasukan kebangsaan Australia itu dilaporkan bakal menggantikan posisi Robert Stanton yang tidak lagi bersama pasukan bagi musim baharu.
“Newcastle Jets mengumumkan perpisahan dengan Rob Stanton hanya beberapa bulan selepas beliau menandatangani perjanjian lanjutan dua tahun. Walau bagaimanapun, Stanton akan terus mengendalikan pasukan sehingga tamat musim A-League Men ini.
“Bekas pemain tengah Socceroos, Mark Milligan, yang pernah beraksi seketika bersama Newcastle pada musim 2008-09, dijangka akan diumumkan sebagai penggantinya,” lapor ESPN.com.
Terdahulu, jurulatih berusia 39 tahun itu diumumkan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya pada 21 Februari lalu selepas dia meninggalkan Adelaide United.
Milligan adalah sebahagian daripada barisan kejurulatihan baharu menerusi projek revolusi Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Jika Milligan meninggalkan skuad Harimau Malaya sudah pastinya, ia satu kehilangan besar kerana beliau berpengalaman dalam bidang kejurulatihan terutamanya di peringkat antarabangsa.-UTUSAN