Pas umum calon rebut Ayer Kuning esok

Politik

ALOR SETAR: Pas akan mengumumkan calon mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak, Selasa ini.

 Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, calon berkenaan sudah dimuktamadkan baru-baru ini sekali gus akan menamatkan teka-teki siapa yang mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi DUN itu.

 “Calon sudah ada, kalau tidak ada saya pun boleh. Lepas pengumuman calon ini kita akan lebih agresif berkempen untuk calon. Pengumuman calon pada 8 April dan seterusnya penamaan calon pada 12 April,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon di sini semalam.

 Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.

 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRK berkenaan akan dilakukan pada 12 April, diikuti undi awal (22 April) dan mengundi (26 April) yang melibatkan 31,897 pengundi berdaftar.

 Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PN akan menggunakan media sosial sebagai strategi kempen dalam PRK berkenaan yang dilihat lebih berkesan berbanding kempen konvensional.

 “Kalau kaedah konvensional kurang persediaan akan jadi susah dan lebih rumit. Media sosial lebih senang kerana lebih capaian, lebih ramai dan kita akan guna semaksimum mungkin, musim raya pun boleh kempen,“ katanya.-UTUSAN