Malaysia jangan panik dengan tarif AS – Amir Hamzah

Perniagaan

PETALING JAYA: Malaysia tidak seharusnya panik atau tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kesan tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan Malaysia, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut laporan media, Amir Hamzah berkata, pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump masih baharu dan Malaysia memerlukan masa untuk menilai lagi kesannya terhadap industri dan akibatnya terhadap inflasi.

“Kita perlu menganalisis isu sedia ada dan membincangkannya dengan lebih lanjut. Buat masa ini, pendekatan Malaysia adalah untuk meneruskan perbincangan dengan AS kerana kami percaya melalui dialog, penyelesaian yang lebih baik boleh ditemui.

“Insya-Allah, melalui mesyuarat dalam Asean, kami akan mencari jalan untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi kami supaya kata sepakat dapat dicapai untuk bergerak ke hadapan,” katanya selepas sesi ‘walkabout’ sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat ke-12 pada Ahad.

Amir Hamzah berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kesan tarif AS terhadap unjuran inflasi Malaysia untuk tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan unjuran inflasi untuk tahun ini sekitar 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.

Beliau berkata, unjuran inflasi sudah mengambil kira pelarasan subsidi yang dirancang pada masa hadapan.

“Ekonomi kita kekal cergas, jadi secara semula jadi, dengan aktiviti ekonomi yang kukuh, beberapa tekanan inflasi mungkin berlaku.

“Kami belum mengambil kira tekanan tambahan yang mungkin timbul sekiranya tarif berkuat kuasa. Di bawah kerajaan kita, majlis bersama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi panduan untuk menangani isu-isu ini,” katanya.

Amir Hamzah berkata, di samping mesyuarat menteri kewangan dan gabenor bank pusat serantau yang dijadualkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertemu dengan rakan sejawatannya, manakala perdana menteri akan meneruskan perbincangan dengan ketua-ketua negara Asean.

“Semua negara akan membincangkan perkara yang penting bagi setiap negara. Persefahaman dan kerjasama dalam ASEAN telah lama wujud, jadi apabila kita terlibat, kita bergerak ke hadapan bersama-sama,” ujarnya.

BNM mengunjurkan inflasi meningkat kepada antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus tahun ini, berbanding purata 1.8 peratus pada 2024, tetapi ia dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Ekonomi Malaysia juga diramalkan berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil walaupun berdepan ketidaktentuan luaran. – UTUSAN